NEXTIER Nerworks (nexTier), syarikat peneraju teknologi perkhidmatan pencegahan kebocoran data atau Data Leak Prevention (DLP) berasaskan teknologi analisis semantik melantik Powerbloc Generation (M) Sdn Bhd (Powerbloc) untuk mengedarkan produk mereka di negara ini selain di Indonesia dan juga Singapura.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi nexTier, Tarique Mustafa berkata, pihaknya melihat Malaysia mempunyai potensi besar sebagai platform memperluas pasaran produk penyelesaian DLP itu.
“Pemilihan Powerblog sebagai rakan kerjasama kami diharap dapat membantu syarikat dan organisasi di seluruh Malaysia mencegah masalah DLP.
“Ini kerana, kebanyakan syarikat hari ini berhadapan cabaran besar melindungi data sensitif mereka daripada diceroboh, selain mengurus data yang tidak berstruktur dan sukar dicapai.
“Berdasarkan kajian kami, 61 peratus kebocoran data dalam sesebuah syarikat berpunca daripada niat jahat individu di samping 39 peratus lagi disebabkan masalah tidak disengajakan,” katanya selepas sidang media menandatangani perjanjian persetujuan pakatan kerjasama dengan Powerbloc di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Powerbloc diwakili Pengarah Urusannya, Mokhlis Abdul Karim.
Tarique memberitahu, penyelesaian DLP tradisional yang menggunakan teknologi pengesanan cap jari tidak lagi relevan untuk perlindungan data penting kerana ia lebih mudah terdedah kepada masalah kebocoran.
Katanya, sesebuah syarikat perlu memahami DNA sesebuah data terlebih dahulu dan itu yang dilakukan teknologi DLP nexTier di mana ia mengawal pergerakan data secara menyeluruh termasuk menerusi aplikasi web dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Teknologi terbabit juga sangat unik kerana dilengkapi polisi sekuriti yang dapat menentukan sama ada sesuatu dokumen itu boleh dibuka atau tidak pada satu-satu masa mengikut konteks hak pengguna yang telah ditetapkan.
“Untuk peringkat awal memastikan masalah DLP ini dapat dicegah, pihak kami dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengguna mengenai teknologi ini terutama di kalangan individu dalam pengurusan perniagaan,” jelasnya.
Sumber : Agensi
0 comments:
Post a Comment