Kebiasaannya, penggunaan gajet sering dikaitkan dengan lelaki. Mereka dikatakan gila kepada produk atau model baru berbanding wanita.
Bagaimanapun, stigma itu mungkin perlu ditolak ke tepi memandangkan wanita juga handal kalau diajak berborak mengenai teknologi.
Jam tangan SleepTracker
Kamera
Fon telinga
Ultrabook
GPS
Pemain MP3
Konsol game mudah alih
Apabila menyasarkan wanita untuk gajet berteknologi tinggi, kebanyakan syarikat menggunakan satu pendekatan yang sama dengan menganggap pilihan produk wanita hanya berkisar satu ciri iaitu warna merah jambu.
Dalam erti kata lain, mereka akan mencipta gajet dengan lapisan warna merah jambu pada telefon, laptop atau pemain MP3 dan mereka beranggapan boleh mengubah gajet terbabit kononnya menjadi ‘produk wajib beli’ kepada pembeli wanita.
Cuma baru-baru ini, pengeluar mula memberi perhatian lebih kepada apa yang wanita benar-benar mahukan di luar ciri warna semata-mata.
Meskipun mengikut kajian Persatuan Pengguna Elektronik 2010, lelaki berbelanja lebih untuk membeli barangan elektronik dengan purata RM2,000 hingga RM3,000 setahun berbanding RM1,000 hingga RM2,500 yang dibelanjakan oleh wanita. Faktor itu tidak harus diabaikan.
Sebagai contoh, wanita menyumbang kira-kira RM270 bilion kepada penggunaan elektronik pengguna pada 2007 mengikut kajian agensi penyelidik pengguna, McGraw.
Kajian sama juga menunjukkan ciri produk yang menarik minat golongan ini bukan saja berkisar mengenai kecantikan gajet semata-mata, tetapi wanita cenderung untuk mencari alat direka dengan baik, tahan lama dan mudah untuk digunakan.
Terdapat tujuh gajet yang sesuai untuk direbut wanita termasuk:
Jam Tangan SleepTracker
Salah satu kajian Sekolah Perubatan Harvard pada 2011 mendapati wanita lebih mudah bangun awal pagi berbanding lelaki berdasarkan kitaran tidur yang lebih pendek.
Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna wanita secara semula jadi dikurniakan dengan kuasa untuk terus bangun daripada tidur, mereka juga memerlukan jam untuk membuka mata dan segera melompat keluar daripada katil.
Teknologi SmartStart dalam jam khas SleepTracker memantau peringkat tidur anda sepanjang malam dan kemudian menggunakan data terbabit untuk menentukan masa yang tepat diperlukan untuk anda bangun.
Ia sekali gus membantu anda berasa lebih segar dan bertenaga. Produk ini datang dengan perisian yang tersedia paling komprehensif yang membolehkan anda untuk melihat cara anda tidur, kaedah meningkatkan tidur anda dan jumlah markah tidur keseluruhan anda.
Kamera
Wanita lebih cenderung untuk bertindak sebagai jurugambar keluarga mereka. Oleh itu, pengeluar kamera mencipta gajet yang ringan dan mudah guna tanpa ciri manual menyusahkan bagi kegunaan mereka.
Trend sekarang juga menunjukkan wanita gemar membawa kamera jenis polaroid yang mencetak foto terus daripada kamera bersaiz tiga inci atau empat inci.
Polaroid dengan resolusi antara 12 hingga 14 megapiksel dengan pencetak ZINK bersepadu untuk memberikan kemudahan cetak segera gambar dengan warna penuh menggunakan teknologi Zero Ink Printing Technology.
Cetakan printer ZINK akan muncul sepenuhnya dilindungi lapisan noda-proof dan tahan air.
Terdapat Polaroid seperti model Z340 yang mempunyai skrin LCD 2.7 inci untuk melihat gambar yang diambil dan memilih imej untuk dicetak.
Kamera segera ini juga mempunyai bateri yang boleh dicas semula yang cukup untuk mencetak sehingga 25 keping gambar dan memuat naik sehingga 75 keping gambar.
Bagi wanita yang sentiasa mahukan sesuatu yang berbeza dalam seni merakam gambar, kamera ini antara barangan wajib untuk anda!
Fon Telinga
Kalau sudah membeli pemain MP3, pastinya anda mahukan fon telinga yang menepati telinga dan memainkan bunyi hebat.
Jenama Monster misalnya boleh memberikan wanita kepuasan muzik yang dilantun sehingga mampu mencetuskan inspirasi sepanjang hari.
Model yang bersesuaian jika anda wanita mungkin pada produk Inspiration dan Diamond Tears - Edge.
Audio canggih kesan teknologi memberikan bunyi yang optimum sebagaimana model Inspiration yang mampu menggegarkan imaginasi buat penggemar muzik. Fon kepala dengan reka bentuk baru dan berani itu didatangkan dalam pelbagai warna yang sesuai untuk keperluan acara.
Model Diamond Tears - Edge pula diilhamkan daripada pengeluar muzik paling menonjol di Asia, JY Park dengan menggunakan audio berteknologi tinggi Beats oleh Dr Dre.
Ultrabook
Wanita yang tidak ketinggalan dalam kegilaan trend patut mendapatkan ultrabook hibrid yang dikeluarkan Sony melalui VAIO Duo 11 pada harga RM3,999.
Ia menggabungkan ciri laptop dan tablet yang hanya senipis 17.75 mm dan seberat 1.3 kilogram, VAIO Duo 11 boleh dianggap produk comel serta canggih terbaru untuk wanita.
Ultrabook hibrid itu menampilkan perbezaan ketara berbanding produk sedia ada di pasaran kerana ia boleh digunakan sebagai tablet atau boleh diubah kepada laptop tanpa perlu diceraikan.
Mahu comel lagi? Dapatkan model ultrabook Aspire S7 Touch yang menggunakan sistem operasi Windows 8.
Ia diiktiraf antara produk ultrabook terbaik musim cuti dengan rekaan nipis menggunakan bahan aluminium, ringan dan ringkas.
S7 mempunyai saiz skrin 13.3 inci dan 11.6 inci dengan kemudahan skrin sentuh serta dilengkapi pemprosesan Intel Core generasi ketiga.
GPS
Sesetangah wanita memang sukar untuk memberi tumpuan ketika memandu dan pada masa sama memandang skrin peranti sistem kedudukan global (GPS).
Kebiasaannya juga, wanita dikatakan golongan yang tidak mudah menghafal jalan berbanding lelaki.
Oleh itu, GPS produk paling tepat bagi mereka seperti yang ditonjolkan TomTom iaitu model TomTom Via 620 yang dilengkapi skrin paparan luas bersaiz enam inci.
Kelebihan itu pastinya akan menyediakan panduan navigasi lebih jelas dan mudah untuk pengguna menikmati perjalanan lancar serta selamat.
Menerusi bantuan sistem audio dan butang kawalan lebih besar pula, peranti ini adalah pilihan yang tepat menjadi peneman anda di jalan raya.
Pemain MP3
Wanita dan MP3, kedua-duanya kelihatan cantik bersama-sama.
Kalau wanita ingin membeli pemain MP3, iPod Touch memang gajet paling menarik dengan rekaan kerana model terkini itu semakin ringan dan nipis untuk beberapa milimeter lagi.
Malah, wanita yang bermain game jenis kasual juga patut mendapatkannya selain fungsi memainkan muzik di mana-mana saja.
Apatah lagi, segala-galanya memang kelihatan menakjubkan pada paparan skrin jenis Retina bersaiz 4.0 inci.
Buat pertama kalinya, iPod Touch dibuat daripada bahan aluminium yang biasa digunakan dalam rekaan MacBook.
Warna pilihan pada model ini juga menggambarkan jiwa kepada pemiliknya, apatah lagi jika anda seorang wanita yang ceria.
Konsol Game Mudah Alih
PS Vita? konsol game mudah alih? jangan terkejut kalau kami nyatakan gajet terbabit memandangkan ramai di kalangan kaki game di negara ini juga wanita!
Malah, PS Vita bukan sekadar konsol mudah alih permainan biasa bagi kesinambungan PlayStation Portable (PSP), tetapi turut dilengkapi teknologi skrin lima inci peka sentuhan OLED dan kesan visual lebih mantap yang dijana unit pemprosesan pusat (CPU) 4 core (ARM Cortex- A9 MPCore).
Selain kepuasan menikmati permainan video dengan skrin berpaparan definisi tinggi (HD), PS Vita juga dilengkapi dengan aplikasi lain untuk memainkan video, muzik dan rangkaian sosial Internet seperti facebook yang boleh diperoleh melalui PlayStation Store (pasaran maya Internet).
Dengan kemudahan melayari Internet itu, PS Vita yang memiliki memori sebesar 512 MB pada sistem RAM serta 128 MB pada VRAM (video RAM) membolehkan pemain konsol ini melakukan permainan silang dan bersembang dengan peranti permainan lain keluaran Sony, seperti PlayStation 3.
Sumber : Agensi
0 comments:
Post a Comment